PETALING JAYA – Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang sejak Khamis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, identiti remaja terbabit ialah Nur Aidil Fitri Arasy Helmi.
Katanya, maklumat kehilangan remaja berkenaan diterima pada Khamis kira-kira pukul 11.23 malam.
“Nur Aidil Fitri kali terakhir dilihat di Apartmen Sri Meranti, Bandar Sri Damansara kira-kira pukul 5.50 petang.
“Orang Hilang (OH) berketinggian 163 sentimeter dengan berat 53 kilogram. Warna kulitnya juga cerah dengan berambut hitam. OH mempunyai hidung mancung dan berbibir mulut nipis,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Shahrulnizam, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan mangsa mohon tampil ke balai polis berdekatan atau berhubung terus dengan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222.
“Maklumat juga boleh disalurkan pegawai penyiasat, Inspektor Izahita di talian 010-2513690 bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE