KEMAMAN – Jabatan Pelancongan Terengganu mengambil inisiatif menghias kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing di sini dengan lebih 1,000 pelita raya sebagai persiapan menyambut kepulangan perantau meraikan Aidilfitri pada hujung minggu depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, dekorasi pelita raya tersebut akan terus di pasang di kawasan R&R terbabit sehingga 1 Syawal.
Beliau berkata, dekorasi pelita raya yang bergemerlapan tersebut boleh dilihat jelas dari Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2).
“Pemasangan pelita raya merupakan tradisi penduduk Terengganu untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Tahun ini kita ceriakan R&R Perasing dengan dekorasi pelita raya untuk menyambut kepulangan perantau,” katanya ketika merasmikan program Pelita @ Perasing di R&R Perasing di sini malam tadi.
Razali berkata, R&R Perasing dipilih kerana ia merupakan destinasi utama yang menjadi pintu masuk utama dari sempadan Pahang bagi pengguna LPT 2.
Beliau berkata, R&R Perasing juga kawasan rehat dan rawat paling luas di LPT 2 dan memiliki kemudahan lengkap seperti surau, tandas, medan selera, tempat letak kenderaan dan stesen minyak buat keselesaan pengguna.
“Sehubungan itu, saya seru pengguna LPT 2 terutama perantau yang melakukan perjalanan pada waktu malam untuk pulang beraya singgah sebentar ke R&R Perasing,” katanya. – KOSMO! ONLINE