TAPAH – Koperasi milikan masyarakat Orang Asli di negeri ini seharusnya mencontohi kejayaan Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad (KOALKB) yang menguruskan Taman Eko-Rimba Lata Kinjang yang memiliki air terjun paling tinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian 850 meter dari paras laut secara profesional sehingga mampu mencatatkan pendapatan mencecah RM1.4 juta.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, koperasi itu dikendalikan sepenuhnya oleh masyarakat Orang Asli.
“Saya difahamkan, pihak koperasi berkenaan telah berjaya mengutip RM1.4 juta pendapatan.
“Dari masa ke semasa, kita akan hantar mereka berkursus supaya lebih berfikiran terbuka dan memberi impak kepada kemajuan koperasi berkenaan,” katanya kepada pemberita pada Program Gerakan Koperasi Santuni Masyarakat Orang Asal Negeri Perak anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Batang Padang Dan Muallim Perak di Jalan Stesen, Kampung Lubok Katak di sini hari ini.
Saarani berkata, KOALKB diuruskan oleh pengurus yang berpendidikan tinggi, mempunyai ilmu dan kemahiran bidang perniagaan menyebabkan antara punca kejayaan organisasi koperasi tersebut.
“Saya berharap koperasi Orang Asli lain (di negeri ini) juga diuruskan oleh pengurus yang berpengetahuan dan mempunyai kemahiran dalam bidang perniagaan serta mempunyai visi dan misi,” katanya. – KOSMO! ONLINE