JOHOR BAHRU – Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski masih belum memutuskan pemain yang akan digugurkan daripada skuad 23 pemain menjelang aksi pusingan ketiga Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadim Sultan Ibrahim (SSI), di sini, Selasa ini.
Menurut Cklamovski, pemilihan ini bergantung kepada prestasi pemain dan apa yang boleh mereka berikan dalam membentuk pasukan mengikut acuan yang dimahukan.
Katanya, dia akan memastikan pemain yang dipilih nanti benar-benar layak bagi menterjemahkan apa yang dimahukan pada perlawanan menentang Nepal nanti.
“Setakat ini, saya masih belum membuat keputusan mengenai perkara ini, antara kriteria pemilihan adalah kualiti yang ada pada pemain dan apa yang mereka boelleh berikan kepada pasukan.
“Saya mahu perlawanan menentang Nepal nanti menjadi penanda aras pasukan yang diinginkan. Walaupun kami tidak sempurna, kami akan turun dengan penuh semangat dan menyuntik kegembiraan buat penyokong,” ujarnya.
Pengendali kelahiran Australia itu berkata, dia tidak berhasrat untuk menghantar pulang pemain yang digugurkan sebaliknya akan terus bersama pasukan.
Katanya, walaupun ada pemain yang tidak dipilih, Cklamovski tetap mahu mereka tetap merasakan bahawa mereka sebahagian daripada pasukan.
“Kami adalah satu pasukan, satu keluarga, satu negara dan kami perlukan sokongan semua. Saya tidak mahu mereka dipinggirkan, itu falsafah saya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE