fbpx

Buskers Terengganu akur tapi terkilan arahan henti persembahan mengejut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Fazli (tiga dari kiri) mewakili Persatuan Buskers Terengganu mengadakan pertemuan dengan Razali di Kemaman semalam.

KEMAMAN – Seramai 179 seniman jalanan atau buskers yang mengganggotai Persatuan Buskers Terengganu terkilan dengan keputusan mengejut kerajaan negeri melarang sebarang aktiviti persembahan jalanan atau busking pada 10 malam terakhir Ramadan berkuat kuasa kelmarin.

Setiausaha Agung Persatuan Buskers Terengganu, Mohd. Fazli A. Rahman berkata, rata-rata mereka tersentak kehilangan mata pencarian sekelip mata apabila larangan tersebut dikeluarkan kerajaan negeri tanpa sebarang notis.

“Rata-rata kami ini mencari makan semata-mata dengan busking. Kalau dimaklumkan awal, boleh kami rancang untuk cari kerja lain untuk menyara anak isteri dan belanja raya.

“Walaupun akur dengan keputusan kerajaan negeri tetapi hakikatnya kami memang mengharapkan rezeki minggu terakhir sebelum Aidilfitri ini berikutan kehadiran lebih ramai pengunjung berikutan kepulangan perantau,” katanya di sini malam tadi.

Terdahulu beliau mewakili Persatuan Buskers Terengganu mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris.

Mohd. Fazli berkata, rata-rata ahli persatuan mematuhi dengan setiap syarat dikeluarkan kerajaan negeri Terengganu dan pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat.

Jelas beliau, mereka amat menjaga sensitiviti dan kehendak pihak berkuasa serta orang ramai setiap kali membuat persembahan.

Sementara itu, Razali berkata, tindakan larangan aktiviti busking buat sementara waktu terpaksa dibuat setelah segelintir buskers didapati melanggar peraturan ditetapkan sehingga seakan-akan tidak menghormati bulan Ramadan.

“Isu itu mendapat kritikan netizen sehingga menyebabkan kerajaan negeri turut terpalit sama. Harap buskers faham, kita tiada niat sekat siapa-siapa cari makan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI