PONTIAN – “Saya dan bayi dibawa keluar dari rumah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan kenderaan bomba dalam suasana hujan yang masih turun.
“Bayi tidak menangis tetapi saya sedih selepas baru habis berpantang terpaksa tinggal di PPS kerana rumah telah dinaiki air setinggi 0.5 meter,” luah Siti Amyra Asila Md. Nazip seorang daripada mangsa banjir di sini.
Menurut Siti Amyra Asila, 30, bayi perempuan yang dinamakan Syyida Khadijah Mohd. Fadzle, dilahirkan melalui proses pembedahan di Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 1 Februari lalu.
Katanya, walaupun telah habis tempoh berpantang, dia tidak boleh terlalu bergerak disebabkan pembedahan yang dialami sebagaimana yang dinasihatkan oleh doktor.
“Namun saya terpaksa juga berpindah ke PPS kerana bimbang air semakin tinggi serta nasihat daripada pihak Ketua Kampung supaya penduduk di Kampung Parit Abd. Rahman, Kayu Ara Pasong berpindah segera,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Agama Kayu Ara Pasong, disini.
Tambah Siti Amyra Asila, sejak berpindah pada petang hari Rabu lalu, telah tiga malam dia dan bayinya tidur di PPS dalam sebuah khemah berasingan yang disediakan oleh pihak urusetia.
“Cuma malam dia kerap menangis, mungkin sejuk dan tidak selesa berada di PPS yang didiami oleh ramai mangsa lain di PPS tersebut. Mujur emak saya, Zanariah Zakaria, 56, turut berada sama berpindah ke PPS ini, dapatlah dia tengok-tengokkan cucUnya ketika menangis,” ujarnya yang berkerja sebagai pembantu pembuat rempeyek. – KOSMO! ONLINE