fbpx

Banjir Johor tunjuk tanda positif, jumlah mangsa menurun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TEBING runtuh di Bandar Baru Uda, Johor Bahru ekoran kejadian hujan lebat berterusan selama dua hari yang melanda seluruh negeri ini.

JOHOR BAHRU – Selepas tiga hari dilanda hujan, situasi banjir di negeri ini mula menunjukkan trend positif apabila berlaku penurunan mangsa banjir iaitu seramai 10,630 mangsa pada pukul 12 tengah hari ini.

Jumlah itu menurun berbanding seramai 13,089 mangsa yang direkodkan pada pukul 8 pagi, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, ketika ini sebanyak 68 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di enam daerah terjejas.

“Daerah paling teruk terjejas adalah Johor Bahru dengan seramai 5,550 mangsa di 27 PPS, diikuti Pontian (1,954 mangsa, 19 PPS); Kluang (1,839 mangsa, 14 PPS); Kulai (968 mangsa, empat PPS); Batu Pahat (211 mangsa, dua PPS) serta Kota Tinggi (108 mangsa, dua PPS).

“Insiden banjir yang berlaku ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lalu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa kecederaan atau kematian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Azmi, tiga sungai di negeri ini masih menunjukkan paras air bahaya antaranya Sungai Lenik di Batu Pahat; Sungai Kahang di Kluang dan Sungai Pulai di Pontian.

“Sementara itu, tiga jalan masih ditutup untuk semua jenis kenderaan iaitu Jalan Lukut Cina dan Jalan Mawai Lama, kedua-duanya di Kota Tinggi serta Jalan Jabi Bukit Tempurung di Segamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI