JOHOR BAHRU – Keadaan banjir di negeri ini beransur-ansur pulih apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin menurun dengan seramai 8,874 orang, setakat pukul 4 petang.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah terkini itu menurun berbanding seramai 10,630 mangsa pada pukul 12 tengah hari tadi.
Katanya, 8,874 mangsa daripada 2,727 buah keluarga itu ditempatkan di 57 PPS yang masih beroperasi di enam daerah ketika ini.
“Johor Bahru kekal daerah paling teruk terjejas dengan seramai 4,465 mangsa di 22 PPS, diikuti Kluang (1793 mangsa, 13 PPS); Pontian (1,548 mangsa, 16 PPS); Kulai (619 mangsa, dua PPS); Batu Pahat (241 mangsa, dua PPS) serta Kota Tinggi (108 mangsa, dua PPS),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Azmi, tiga sungai di negeri ini masih menunjukkan paras air bahaya antaranya Sungai Lenik di Batu Pahat; Sungai Kahang di Kluang dan Sungai Pulai di Pontian.
“Sementara itu, tiga jalan masih ditutup untuk semua jenis kenderaan iaitu Jalan Lukut Cina dan Jalan Mawai Lama, kedua-duanya di Kota Tinggi serta Jalan Jabi Bukit Tempurung di Segamat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE