URUGUAY – Argentina terus dirundung malang menjelang aksi getir kelayakan Piala Dunia 2026 apabila penyerang berbisa mereka, Lautaro Martinez terpaksa disisihkan akibat kecederaan.
Pengesahan itu dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) dalam satu kenyataan rasmi, sekali gus menambah rentetan masalah buat pengendali, Lionel Scaloni yang sudah pun kehilangan beberapa pemain utama termasuk kapten pasukan, Lionel Messi.
“Penyerang Lautaro Martinez tidak akan menyertai skuad untuk aksi kelayakan bulan Mac ini akibat kecederaan otot di hamstring,” menurut kenyataan rasmi AFA.
Skuad La Albiceleste kini sedang bersiap sedia untuk dua perlawanan penting iaitu menentang Uruguay di Montevideo esok sebelum kembali ke Buenos Aires untuk melayan kunjungan Brazil di Estadio Mas Monumental pada Selasa.
Kekalahan dalam kedua-dua aksi tersebut mungkin menyebabkan Argentina kehilangan kedudukan pendahulu carta kelayakan biarpun mereka ketika ini mengumpul 25 mata dan memiliki kelebihan lima mata berbanding pencabar terdekat, Uruguay.
Sebelum ini, Argentina sudah pun kehilangan ketua pasukan, Lionel Messi yang mengalami kecederaan adductor ketika membantu Inter Miami menewaskan Atlanta United 2-1 pada Ahad lalu.
Biarpun kecederaan tersebut tidak terlalu serius, pengendali Argentina, Lionel Scaloni enggan mengambil risiko untuk memanggil bintang utama mereka itu biarpun dua aksi kali ini sepatutnya memerlukan kepakaran Messi.
Selain Messi dan Martinez, Scaloni juga tidak dapat memanggil khidmat Paulo Dybala (Roma), Giovani Lo Celso (Real Betis), Gonzalo Montiel (River Plate) akibat kecederaan dan kehilangan Martinez menyaksikan kekuatan jentera serangan Argentina dilihat berdepan masalah.
Martinez sebelum ini berjaya membuat 22 penampilan bersama skuad Argentina sejak Jun 2023 dan kecederaan kali ini menamatkan rekod aksinya di peringkat antarabangsa.
Martinez yang menjadi tonggak utama Argentina dalam enam perlawanan terakhir juga sedang berada dalam prestasi terbaik selepas menjaringkan gol dalam tiga perlawanan terakhir pada tahun lalu menentang Bolivia, Paraguay dan Peru.
Ketiadaan Messi dan Martinez akan menyaksikan penggempur Atletico Madrid, Julian Alvarez dijangka mengetuai jentera serangan Argentina selepas pemain itu mempunyai rekod cemerlang dengan 23 gol dalam 44 perlawanan kompetitif bersama kelabnya musim ini.
Kini, Scaloni perlu segera mencari solusi terbaik bagi memastikan Argentina tetap kukuh ketika menghadapi dua musuh tradisi di rantau itu. – AGENSI