LONDON – Pertahanan England, Dan Burn mahu memanfaatkan peluang menyertai pasukan kebangsaan sebaik mungkin dan nekad memberi impak besar pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Albania, awal pagi esok.
Selepas terpaksa menanti lama untuk mendapatkan panggilan sulung bersama The Three Lions, bintang Newcastle United itu menjadikan situasi itu sebagai suntikan semangat buatnya untuk tampil lebih cemerlang sekali gus balas kepercayaan Thomas Tuchel.
“Kehadiran saya ke dalam pasukan adalah bukan sebagai ‘pasukan sorak’, tetapi saya mahu bermain. Saya merasakan saya adalah seorang ketua dalam dan luar padang, malah turut menganggap sesuai untuk memainkan peranan buat pasukan.
“Dengan kehadiran pemain lain, saya tahu cabarannya pasti sukar memandangkan mungkin wujud keraguan tentang kualiti saya. Saya sudah menanti peluang ini agak lama dan saya tidak mahu mensia-siakannya.
“Tuchel mengakui saya berjaya bermain dengan baik. Saya tidak mahu kehadiran saya kali ini tanpa sebab kukuh sebaliknya saya mahu membuktikan sesuatu,” katanya.
The Three Lions akan melayan Albania dan Latvia pada aksi yang berlangsung di Wembley iaitu venue yang memberi kejayaan besar buat Burn apabila baharu sahaja membantu Newcastle United memenangi Piala Liga Inggeris. – AGENSI