KUALA KRAI – Seorang wanita warga emas cedera parah selepas dipercayai dirodok gading seekor gajah sebelum dipijak haiwan tersebut dalam kejadian di Kampung Laloh di sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi semasa mangsa, Zainab Mat Husin, 63, sedang menoreh getah di kawasan kebun yang terletak kira-kira 20 meter dari rumahnya.
Anak mangsa, Nazri Mat Husin,46, berkata, ibunya ketika ini masih belum sedarkan diri dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini.
“Alhamdulillah, ibu selamat menjalani pembedahan kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.
“Saya mengetahui kejadian itu pada pukul 11 pagi semalam semasa berada di tempat kerja di Shah Alam, Selangor apabila menerima panggilan telefon daripada ibu saudara,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Nazri memberitahu, dia terus bergegas pulang ke kampung untuk melihat keadaan ibunya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, Perhilian Kuala Krai menerima aduan serangan seekor gajah liar yang mencederakan seorang penoreh getah di kawasan kebun getah berhampiran rumah mangsa di Kampung Laloh di sini semalam.
Menurutnya, anggota Perhilitan bergegas segera ke lokasi kejadian sebelum mendapati mangsa cedera dan dihantar ke HSIP untuk rawatan lanjut.
“Semasa menjalankan siasatan lokasi kejadian, seorang kakitangan Perhilitan bertembung sebelum diserang seekor gajah liar sehingga mengakibatkan kecederaan pada bahagian kakinya.
“Kakitangan tersebut dibawa keluar dari lokasi kejadian sebelum dihantar ke Unit Kecemasan HSIP untuk rawatan lanjut,” katanya.
Mohamad Hafid memberitahu, Perhilitan Kelantan telah menjalankan operasi tangkapan dan kawalan bagi menjaga keselamatan penduduk. – KOSMO! ONLINE