WASHINGTON – Presiden Donald Trump menandatangani perintah eksekutif kelmarin bagi ‘menutup’ Jabatan Pendidikan.
Trump berkata, arahan itu menandakan permulaan penutupan Jabatan Pendidikan persekutuan buat selama-lamanya.
“Kami akan menutupnya secepat mungkin. Ia (Jabatan Pendidikan) tidak mendatangkan manfaat kepada kami.
“Kami sebaliknya akan mengembalikan hal ehwal pendidikan kepada negeri-negeri,” kata Trump sambil dikelilingi pelajar di White House, Washington.
Pemimpin Parti Republikan termasuk Gabenor Negeri Florida, Ron DeSantis dan Gabenor Texas, Greg Abbott hadir pada majlis menandatangani perintah eksekutif tersebut.
Jabatan Pendidikan yang diwujudkan pada tahun 1979 sebenarnya tidak boleh ditutup tanpa kelulusan Kongres Amerika Syarikat(AS).
Namun, arahan Trump akan mempunyai kuasa untuk menyekat dana kerajaan dan kakitangan kepada Jabatan Pendidikan.
Tindakan kontroversi itu sebagai mengotakan salah satu janji kempen Trump dan merupakan antara langkah paling drastik dalam rombakan kerajaan yang beliau lakukan dengan bantuan panasihat kanan, Elon Musk.
Perintah itu mengarahkan Setiausaha Pendidikan, Linda McMahon untuk mengambil semua langkah yang perlu untuk memudahkan penutupan Jabatan Pendidikan dan mengembalikan pihak berkuasa pendidikan kepada negeri-negeri di AS.
Tindakan itu bagaimanapun dibidas oleh Parti Demokrat dan golongan pendidik.
Seorang anggota Demokrat di Dewan Senat, Chuck Schumer menganggap tindakan itu sebagai perebutan kuasa yang zalim dan salah satu langkah paling merosakkan yang pernah dilakukan oleh Trump.
Trump membuat langkah itu sebagai langkah perlu untuk menjimatkan wang negara dan meningkatkan taraf pendidikan di AS. – AFP