PETALING JAYA- Seramai 51 warga Bangladesh tidak dibenarkan memasuki negara ini selepas didapati gagal memenuhi syarat kemasukan di pintu masuk antarabangsa.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu kenyataan menjelaskan, pemeriksaan mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan, termasuk menggunakan dokumen tempahan hotel palsu dan cuba melarikan diri daripada pemeriksaan imigresen.
“Pemeriksaan secara rambang pada awal pagi ke atas 67 warga asing di Balai Ketibaan Terminal 1 KLIA telah berjaya mengesan 51 individu melakukan pelbagai kesalahan dan telah ditahan di Pejabat Operasi untuk siasatan lanjut.
“Semasa pemeriksaan dibuat, beberapa individu dikesan berlegar-legar di Balai Ketibaan.
“Tindakan mencurigakan di Balai Ketibaan tanpa segera melaporkan diri kepada pegawai bertugas, dan tindakan beberapa individu cuba mengelak daripada melalui prosedur pemeriksaan biasa menimbulkan keraguan terhadap tujuan sebenar kemasukan mereka,” tulis kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu, ketika proses pemeriksaan dijalankan, terdapat insiden di mana seorang individu cuba melarikan diri daripada diperiksa, namun berjaya ditahan semula oleh pegawai bertugas.
Hasil saringan, seramai 51 warga Bangladesh telah ditolak kemasukan ke Malaysia kerana gagal memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Selain menggunakan dokumen palsu, tiada wang sara diri yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan sepanjang tempoh tinggal di Malaysia serta gagal menyatakan tujuan jelas untuk memasuki Malaysia antara sebab kemasukan mereka ditolak.
“Malahan sebahagian daripada mereka juga turut mengaku masuk ke Malaysia bagi tujuan mendapatkan pekerjaan.
“Kesemua 51 warganegara Bangladesh akan dihantar pulang ke negara asal dengan segera melalui penerbangan terawal yang ada.
“Kawalan di pintu masuk negara akan terus diperketatkan dan pemantauan berterusan akan dilaksanakan oleh AKPS bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” jelas kenyataan itu lagi. – KOSMO! ONLINE.