KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu tidak membenarkan sebarang aktiviti persembahan seniman jalanan atau busking di seluruh negeri ini sepanjang 10 malam terakhir Ramadan sehingga 30 Mac ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan, dan Kesihatan Negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, peraturan baharu itu bertujuan menghormati kemuliaan 10 malam terakhir Ramadan yang bermula malam tadi.
“Larangan ini sudah dimaklimkan kepada semua pemilik premis perniagaan dan pasaraya di seluruh Terengganu.
“Ia juga melibatkan semua tapak bazar Ramadan, pesta moreh dan bazar Aidilfitri di seluruh negeri ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Wan Sukairi berharap arahan tersebut dipatuhi semua pihak terlibat dan sebarang kegagalan boleh dikenakan tindakan perundangan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
Sebelum ini, aktiviti buskers subur terutama di kebanyakan tapak pesta moreh seluruh Terengganu sepanjang bulan Ramadan ini.
Seniman jalanan terbabit dikenakan syarat hanya boleh membuat persembahan selepas berakhirnya solat sunat tarawih setiap malam.
Hanya pemuzik lelaki dibenarkan membuat persembahan melibatkan lagu-lagu kerohanian dan ketuhanan. – KOSMO! ONLINE