JOHOR BAHRU – Penduduk gesa pihak berkuasa ambil tindakan segera untuk membaiki kerosakan akibat tebing runtuh berhampiran kediaman rumah flat di Jalan Padi Emas, Bandar Baru Uda di sini.
Salah seorang penduduk, Baazlan Che Wan Ibrahim, 65, berkata, kejadian tebing runtuh itu berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari semalam ekoran hujan lebat tanpa henti sejak kelmarin.
Katanya, kejadian itu menyebabkan suasana cemas kerana tebing tersebut bersebelahan dengan kawasan letak kenderaan penduduk.
“Ketika kejadian memang ada beberapa kereta yang diletakkan di situ, tetapi mujur tiada runtuhan yang lebih teruk dan pemilik kenderaan juga dapat memindahkan kereta dengan segera.
“Sebagai penduduk di sini, saya berharap pihak berkuasa dapat membaikpulih semula kawasan tebing ini, kerana ia tidak jauh daripada kawasan perumahan,” katanya sambil memberi kediaman tersebut menempatkan kira-kira 800 penduduk.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Adam Haikal Mohd, 27, pula memberitahu, dia hanya dimaklumkan tentang kejadian itu oleh seorang rakannya.
“Saya sedang berehat di dalam rumah, sebelum seorang rakan memberitahu ada kejadian tebing runtuh di kawasan letak kenderaan.
“Saya bergegas untuk melihat tetapi mujurlah tiada sebarang kerosakan harta benda atau kecederaan mangsa,” katanya yang merupakan seorang pekerja swasta.
Lima daerah di negeri ini dilanda banjir ekoran hujan lebat yang turun tanpa henti sejak kelmarin sehingga menyebabkan seramai lebih 10,000 mangsa ditempatkan di 98 buah pusat pemindahan sementara (PPS).-KOSMO! ONLINE