fbpx

Tak pernah dibuat konsert tema raya, biar saya buat – M. Nasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
M. NASIR menyifatkan konsert Cipta Raya pada April nanti sebagai rumah terbuka meraikan Syawal bersama peminatnya.

TAK terfikir akan ada konsert bertemakan lagu hari raya, hakikatnya malam luar biasa tersebut bakal direalisasikan Datuk M. Nasir pada 13 April ini di Zepp KL.

Siapa juga menyangka, lagu Satu Hari Di Hari Raya yang menutup tirai konsert M N46IR Cipta 2, pada Oktober lalu mencetuskan idea luar kotak buat penganjurnya, Icon Entertainment meneruskan francais Cipta menerusi Datuk M N46IR Cipta Raya pula.

Sentiasa membawa kelainan, Cipta kali ini bakal disajikan dengan seleksi lagu raya dendangan dan ciptaan sifu muzik itu sendiri.

Menurut penganjurnya, Iman Tang, idea tersebut muncul selepas kemeriahan dan keterujaan menyaksikan persembahan Satu Hari Di Hari Raya pada konsert Cipta 2 di Axiata Arena, Bukit Jalil tahun lalu.

“Ketika M. Nasir beritahu saya bahawa dia mempunyai 15 buah lagu raya termasuk yang dicipta untuk penyanyi lain, terus idea untuk mengadakan konsert bertemakan raya muncul dalam fikiran saya.

“Kalau orang tanya kenapa tema dan lagu raya? Jawapan saya ringkas serta mudah iaitu sebab orang lain tak pernah buat, jadi saya lakukannya dulu.

“Sewaktu konsert Cipta 2, M. Nasir ada bertanya tentang keperluan menyanyikan lagu Satu Hari Di Hari Raya bukan pada bulan Syawal tapi lihatlah bagaimana persembahan tersebut menjadi fenomena selama berminggu-minggu dalam media sosial,” katanya yang ditemui pada majlis sidang media Cipta Raya, baru-baru ini.

Tidak mengambil mudah, Iman membuat rujukan dengan melakukan kajian dan mengambil kira semua pertimbangan, termasuk kelebihan dan kekurangan penganjuran konsert terdahulu sebelum mengusulkan idea tersebut kepada M. Nasir.

“Kalau nak bentangkan sesuatu kepada beliau kena buat ‘research’ dahulu dan perlu fikir masak-masak.

“Sebenarnya kami tak bercakap pun mengenai konsert itu antara satu sama lain tetapi disampaikan melalui orang sekeliling dan dia terus bersetuju.

“Pada konsert itu nanti, M. Nasir tidak hanya menyanyikan lagu nyanyian dan ciptaannya sendiri tetapi juga lagu raya kegemarannya daripada penyanyi lain turut didendangkan,” ujarnya.

Teruja untuk muncul dalam sebuah konsert raya yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, seniman berusia 67 tahun itu bakal menghiburkan penonton dengan sekitar 20 buah lagu yang sesuai dengan tema acara.

Istimewa, bukan sekadar hiburan 

Konsert tersebut disifatkan istimewa kerana memberi peluang untuk memperkenalkan beberapa lagu raya ciptaannya yang sebelum ini tidak diketahui ramai.

“Bagusnya konsert ini, saya dapat kongsi dengan orang ramai tentang lagu raya yang pernah saya hasilkan untuk orang lain. 

“Mungkin ada lagu yang orang tak tahu bahawa saya adalah penciptanya.

“Namun, lagu tersebut akan dipersembahkan dengan cara saya dan susunan muzik baharu,” ujarnya.

Bercakap tentang lagu raya kegemaran yang bakal didendangkan, M. Nasir menyifatkan perihal tersebut sebagai sesuatu yang eksklusif.

“Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah keraian seperti Aidilfitri itu sendiri. Ini hari kemenangan kita semua.

“Saya harap dapat menyanyikan 20 lagu yang bersesuaian dengan konsep raya. Mungkin malam itu juga saya akan nyanyikan lagu daripada Al Jawaher yang pernah saya ciptakan untuk mereka. 

“Ada beberapa lagu raya yang saya minati tetapi bukan hasil ciptaan sendiri seperti lagu Allahyarham Tan Sri P, Ramlee iaitu Dendang Perantau, Esok Hari Raya (dR Sam), Selamat Hari Raya (Allahyarham Datuk Ahmad Jais) dan banyak lagi,” katanya lagi.

Sempat berseloroh, M. Nasir berkata konsert tersebut ibarat rumah terbuka untuk para peminatnya pada bulan Syawal.

“Ini pertama kali konsert bertemakan hari raya diadakan. Selalunya, saya akan mengadakan rumah terbuka setiap kali hari raya.

“Tahun ini tak tahu akan buat atau tidak rumah terbuka sebab dah dibuat dalam konsert itu. 

“Rasa lega sebab tanggungjawab itu dah diambil Iman, jadi saya tak perlu belanja banyak,” tuturnya.

Pada acara tersebut itu nanti, para penonton digalakkan memakai busana bertemakan ‘Glam Raya’ bagi memeriahkan suasana konsert yang masih berada dalam bulan Syawal.

Lebih menarik lagi, setiap pembelian tiket bukan saja memberi akses kepada penonton menyaksikan persembahan M. Nasir tetapi peminat juga dapat menikmati juadah raya sebelum konsert bermula.

Tiket-tiket konsert yang dibahagikan mengikut nama juadah raya seperti Sate, Kuah Kacang, Rendang, Ketupat, Lemang dan Serunding juga sudah mula dijual pada 5 Mac lalu melalui platform www.ticket2u.com.my/MNasirCiptaRaya dengan harga RM258 hingga RM10,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI