PETALING JAYA – Kerap dilihat meninggalkan komen dalam Instagram (IG) selebriti Indonesia iaitu Gabriella Ekaputri, penyanyi Ismail Izzani menafikan dakwaan mereka sedang diulit percintaan.
Namun, Ismail atau nama lengkapnya Ismail Izzani Zainal Nazeri, 25, berkata, dia hanya dalam fasa mengenali hati budi wanita itu selain selesa berkawan dengan Gabriella.
“Kami tidaklah bercinta tetapi dalam fasa mengenali hati budi masing-masing. Sekarang pun, masing-masing aktif dalam dunia seni.
“Saya di sini (Malaysia) dan Gabriella di sana (Indonesia), dia pun berlakon serta buat lagu. Kami hanya memberikan sokongan antara satu sama lain.
“Saya selesa dengannya mungkin kerana dia juga dalam industri yang sama. Dia pun faham dengan kerja-kerja saya,” katanya kepda Kosmo! Online semasa majlis berbuka puasa bersama anak yatim kelolaan Universal Music Malaysia.
Berkongsi lanjut, pelantun lagu Luar Biasa itu memberitahu sudah mengenali wanita berusia 24 tahun itu dalam media sosial hampir setahun, namun belum berpeluang untuk berjumpa.
“Kami berkenalan dalam media sosial sudah hampir setahun. Nak kata kami menjalinkan hubungan secara terbuka tidak juga.
“Kami berdua okey sahaja berhubungan seperti ini. Cuma kadang-kadang ada juga kami berbalas komen di IG dan muat naik hantaran di IG story, itu sahaja.
“Buat masa ini hubungan kami tidak lebih daripada itu. Saya pun belum berpeluang bertemu dengannya dan sekiranya kalau ada rezeki dia (Gabriella) akan datang ke Malaysia atau saya yang akan ke Indonesia,” ujarnya lagi.
Ditanya sekiranya Ismail rimas sering dikaitkan dengan gosip percintaan, dia menafikan perkara tersebut sekali gus bersedia mengawal situasi demikian.
“Saya tidak pernah berasa rimas sekiranya dihimpit dengan gosip-gosip percintaan. Sejak bergelar artis, saya sudah bersedia untuk berdepan dengan situasi ini.
“Tidak kiralah sama ada penyanyi atau pelakon, soalan-soalan seperti ini (gosip cinta) memang akan ada.
“Selama dua tahun saya menghilang, apa yang saya belajar adalah untuk bijak mengawal antara kehidupan sebagai artis dan peribadi,” jelasnya.
Sebelum ini, Ismail pernah menjalinkan hubungan dengan penyanyi Shalma Eliana tetapi putus di tengah jalan kerana masing-masing mahu fokus dengan kerjaya. – KOSMO! ONLINE