PETALING JAYA – Menjelang bulan Syawal yang semakin hampir, kerajaan membawa khabar gembira kepada penjawat awam dengan pengumuman Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 hari ini.
Bantuan ini diberikan kepada penjawat awam dalam kategori Gred 56 ke bawah, manakala pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen akan menerima RM250.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna bersyukur dengan inisiatif kerajaan dalam membantu meringankan beban kewangan sebelum Aidilfitri.
“Alhamdulillah, ada juga manis-manis untuk kami penjawat awam. Terima kasih PMX kerana tidak menghampakan kami,” ujar Pak Maon.
“Alhamdulillah, rezeki nak dekat raya ni. Bolehlah beli barang keperluan raya,” komen Rifki Amal.
Malah, bantuan itu turut dianggap sebagai limpahan rezeki kepada peniaga kecil apabila penjawat awam mempunyai wang lebih untuk berbelanja.
“Alhamdulillah, rezeki peniaga-peniaga di luar sana. Penjawat awam ada wang berbelanja, rezeki dikongsi bersama,” kata Ha Tim. -KOSMO! ONLINE