LIPIS – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa bangga apabila empat daerah di negeri ini tersenarai dalam 20 bandar paling bahagia di Malaysia bagi tahun 2025.
Baginda bertitah, pengiktirafan itu amat bersesuaian terutamanya dengan suasana yang dapat dinikmati di Lipis.
“Saya bangga kerana kejayaan di Lipis, Cameron Highlands, Jerantut dan Temerloh. Di Lipis hari ini, saya lawat bandar, masjid, nampak semua orang senyum (sesuai) dinobatkan dengan gelaran tersebut.
“Rakyat di Pahang sangat bertuah, moga semua diberkati dan kuat kerja, solat, mengaji dan lain-lain,” titah baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Maahad Tahfiz Ar-Rushd (MTAR) di Kampung Tanjung Gahai di sini hari ini.
Semalam, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan kejayaan 20 bandar berdasarkan Indeks Kebahagiaan Malaysia.
Lipis, Cameron Highlands, Jerantut meraih pengiktirafan bagi kategori majlis daerah manakala Temerloh (perbandaran).-KOSMO! ONLINE