KUALA SELANGOR – Sebuah premis menyimpan mercun dan bunga api bernilai RM1.2 juta secara haram di Kampung Bukit Kuching, Jeram di sini, digempur polis semalam.
Serbuan menerusi Op Taring Landai kira-kira pukul 10 pagi oleh Unit Risik Marin Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, operasi itu dilakukan pihaknya menerusi maklumat dan risikan berkaitan kegiatan di premis tersebut.
“Pemeriksaan membawa kepada rampasan 90 jenis mercun dan bunga api bernilai RM1.2 juta termasuk cukai.
“Seorang lelaki turut ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen sah melibatkan semua bahan berkenan,” katanya hari ini.
Tambah beliau, suspek dan barang rampasan dibawa ke PPM Pelabuhan Klang bagi tindakan lanjut.
“Siasatan lanjut kes itu telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE