RAUB – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM421,286 dalam satu serbuan di kawasan tempat letak kereta di Jalan Pasar, Bandar Raub di sini kelmarin.
Dalam operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang kira-kira pukul 3.30 petang itu, seramai empat individu ditahan yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta seorang lelaki warga Indonesia.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, hasil pemeriksaan dalam dua buah kenderaan dinaiki suspek menemukan sejumlah besar dadah yang dipercayai untuk diedarkan di daerah ini.
“Antara rampasan termasuk dua bungkus plastik lutsinar berisi syabu seberat 5.40 gram, lima bungkus teh Cina berwarna keemasan bertanda ‘Guanyinwang’ mengandungi syabu seberat 5.3 kilogram (kg), lima bungkus plastik lutsinar berisi ketulan kristal syabu seberat 7.6 kg dan satu bungkus berwarna coklat mengandungi ganja seberat 0.5 kg.
“Jumlah keseluruhan rampasan adalah lebih 13 kg dengan nilai pasaran dianggarkan kira-kira RM421,286. Berdasarkan analisa, dadah yang dirampas ini mampu dibekalkan kepada lebih 26,000 penagih dalam masa sehari,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Raub di sini, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket itu telah beroperasi selama tiga bulan dan suspek mendapatkan bekalan dadah dari Lembah Klang sebelum diedarkan di sekitar Negeri Pahang serta diseludup ke negara jiran.
Tambahnya, hasil siasatan mendapati salah seorang suspek lelaki tempatan berusia 45 tahun mempunyai rekod jenayah berkaitan judi dan kecurian, manakala seorang lagi lelaki tempatan berusia 37 tahun pernah terlibat dalam kes di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
“Selain itu lelaki warga Indonesia berusia 59 tahun pula didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, manakala suspek wanita berusia 42 tahun disahkan positif dadah jenis amphetamine,”katanya.
Dalam pada itu Yahaya berkata, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 26 Mac depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, polis turut menyiasat aset serta rangkaian sindiket tersebut untuk tindakan sitaan bagi melumpuhkan aktiviti mereka sepenuhnya.
“Kejayaan ini membuktikan komitmen kami dalam membanteras dadah di negeri Pahang. Kami akan terus mempergiat risikan bagi memastikan sindiket seperti ini dapat ditumpaskan sepenuhnya,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE