SYDNEY – Ketua jurulatih skuad Indonesia, Patrick Kluivert optimis pasukan bakal melakar kebangkitan meskipun tewas memalukan 1-5 kepada Australia pada aksi Kumpulan C kelayakan Piala Dunia 2026 semalam.
Kluivert enggan menyalahkan barisan pemainnya tetapi mengakui kegagalan pemain berpangkalan dari Eropah, Kevin Diks untuk menyempurnakan sepakan penalti pada awal perlawanan menjadi punca motivasi pasukan sedikit terjejas.
“Jika kita berjaya menjaringkan gol penalti, mungkin perlawanan akan jadi berbeza. Namun, saya lihat pemain berjuang seperti ‘singa’ kelaparan dan memberi tentangan sengit ke atas Australia.
“Saya harap keputusan ini tidak melunturkan semangat pemain untuk bangkit ketika bertemu Bahrain pada minggu depan,” katanya selepas tamat perlawanan.
Keputusan tersebut menyaksikan harapan Indonesia untuk meraih slot automatik ke kelayakan Piala Dunia 2026 semakin sukar apabila mengumpul enam mata daripada tujuh perlawanan. – AGENSI