KUANTAN – Berkat petunjuk solat istikharah seorang bekas guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tidak ralat melepaskan jawatan Timbalan Pengetua MRSM Tun Shafie Lipis apabila dia akhirnya berjaya merealisasikan impiannya untuk membina sebuah masjid bernilai RM6.5 juta di Jalan Pelindung Perdana, Beserah di sini.
Musolla Ar-Raudhah yang dibina hasil usahanya termasuk mengumpul dana daripada orang ramai itu kini boleh memuatkan 1,500 jemaah dengan konsep pembinaan holistik iaitu moden dan tradisional.
Mohd Azly Abdullah,51, yang juga merupakan panel penggubal MRSM Ulul Albab berkata, dia pada mulanya tidak pernah menyangka akan berhenti awal selepas berkhidmat selama 21 tahun dengan MRSM dan berjaya menggapai impiannya membina sebuah musolla.
Katanya, dia yang berulang alik dari rumahnya di Kuantan ke MRSM Lipis membuat keputusan itu dua tahun lalu selepas melakukan solat istikharah bagi menggapai impiannya melakukan sesuatu yang berharga dalam hidupnya serta tidak maju berjauhan dengan keluarga.
“Jadi saya istikharah, Allah tunjukkan jalan dan saya ambil cuti dulu setahun, lepas itu saya saya solat istikharah lagi sama ada hendak terus bekerja atau pencen dan akhirnya Allah tunjukkan jalan saya pencen.
“Apabila sudah begitu saya rasa tidak ralat, tidak rasa ragu-ragu kecewa dengan apa yang diputuskan, walaupun ada pengalaman mengajar di sekolah yang berprestij dengan jawatan terakhir timbalan pengetua,”katanya yang turut kehilangan pendapatan bulanan lebih RM8,000 pada masa itu.
Tambahnya selepas masjid yang turut mendapat sumbangan sebanyak RM200,000 daripada kerajaan negeri dan pusat itu siap dia tidak mahu berhenti setakat itu sahaja apabila mahu menggunakan pengalamannya bagi membukan pula sebuah maahad tahfiz.
Katanya pada masa ini dia telah berjaya mendapatkan tanah kira-kira dua ekar berhampiran musolla berkenaan untuk dibangunkan sebagai maahad tahfiz yang berkonsepkan sains, tahfiz dan turath.
Katanya, pembinaan maahad tahfiz berkenaan dijangka dimulakan pada bulan hadapan yang melibatkan kos kira-kira RM30 juta termasuk membina asrama dan kemudahan lengkap dan terkini. – KOSMO! ONLINE