SEPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat bersama jemaah di Masjid Sultan Abdul Samad, di sini.
Beliau yang tiba kira-kira pukul 1.27 tengah hari disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan pengurusan Masjid Sultan Abdul Samad.
Anwar bersama jemaah kemudian turut mendengar khutbah Jumaat bertajuk ’10 Terakhir Ramadan Memburu Lailatul Gadar’ yang disampaikan Ketua Bahagian Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA, Asisten Superintendan Mohd Shahrizan Samsudin.
Solat Jumaat kemudian diimamkan oleh Imam Besar Masjid Sultan Abdul Samad, Ustaz Bambang Eirman Bahudin yang disertai lebih 3,000 jemaah.
Isi kuthbah antara lain mengingatkan jemaah supaya bersungguh-sungguh dalam mencari dan meraih keberkatan Lailatul Qadar dengan memperbanyakkan ibadah kepada Allah SWT
Selain itu, jemaah juga diingatkan supaya mengisi waktu sepanjang Ramadan terutama pada 10 malam terakhir dengan mendirikan solat malam, membaca Al-Quran, berzikir, berdoa dan melakukan kebajikan lain sesuai dengan kemampuan.
“Umat Islam perlu menyedari dan menghargai kemuliaan Lailatul Qadar dengan sepenuh hati agar timbul semangat dan keazaman yang tinggi untuk merebut keberkatan malam yang penuh rahmat ini,” katanya.
Selesai solat, Anwar turut meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama jemaah yang hadir sebelum beredar meninggalkan masjid. – KOSMO! ONLINE