fbpx

Penolong pendaftar mahkamah syariah didakwa menipu pasangan suami isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Azizi (tengah) diiringi peguam dan penguatkuasa SPRM selepas perbicaraan di Kompleks Mahkamah Kangar di sini hari ini.

KANGAR – Seorang penolong pendaftar mahkamah syariah mengaku tidak bersalah menipu wang tunai pasangan suami isteri bagi tujuan pengesahan status anak di Mahkamah Sesyen Kangar di sini hari ini.

Tertuduh, Mohd Azizi Othman, 46, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Sesyen, Sharifah Norazlita Syed Salim Idid sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Fariz Abdul Hamid serta pegawai pendakwa SPRM, S. Sujatha manakala tertuduh pula diwakili peguam, Zuhair Mohd. Zakuan dan Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Azizi didakwa menipu Noor Atiqah binti Mohd Rohaimee @ Mohd Abd Halim dan Mohamad Shafiq Alias dengan cara memperdayakan mereka untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh menyediakan khidmat guaman.

Khidmat guaman tersebut adalah bagi permohonan pengesahan anak lelaki dan wanita tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah, Kangar.

Mohd Azizi didakwa mendorong pasangan tersebut untuk menyerahkan wang tunai sebanyak RM3,000 kepadanya sedangkan dia tidak berbuat demikian.

Tindakan tersebut dilakukan pada 17 Mac 2021 di Bilik Penolong Pendaftar Mahkamah Syariah Kangar.

Mohd. Azizi dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dihukum dengan penjara sehingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibacarakan di atas pertuduhan tersebut.

Ahmad Fariz menawarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan turut memohon agar tertuduh tidak menganggu saksi pendakwaan.

Zuhair kemudiannya berhujah agar mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana anak guamnya menanggung empat anak serta ayah mentua yang uzur.

Katanya, tertuduh yang juga Penolong Pendaftar Mahkamah Syariah yang tinggal di Simpang Empat, Perlis itu seorang penjawat awam yang mempunyai pendapatan RM4,000 sebulan dan tiada risiko melarikan diri.

Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin warga negara Malaysia serta perlu melaporkan diri pada satu hari bulan setiap bulan di balai polis.

Mahkamah juga mengarahkan agar tertuduh tidka mengganggu saksi pendakwaan dan menetapkan 24 April depan untuk sebutan semula. Tertuduh membayar wang jaminan yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI