SEPANG – Penjawat awam Gred 15 dan ke bawah kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan akhirnya memutuskan untuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri berjumlah RM500 mulai minggu depan.
Berita gembira itu diumumkan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA di sini hari ini.
Menurutnya, pesara kerajaan serta veteran dan veteran tidak berpencen juga akan menikmati BKK Aidilfitri pada kadar RM250.
“Saya putuskan insya-Allah dalam minggu depan kita akan salurkan kepada Gred 56 (Gred 15 ke bawah) sebanyak RM500 bagi setiap penjawat awam.
“Manakala, untuk pesara RM250 termasuk veteran dan veteran tidak berpencen,” katanya.
Katanya, beliau berharap BKK itu akan dapat meringankan beban rakyat menjelang Aidilfitri ini.
Anwar berkata, peruntukan BKK Aidilfitri itu mencecah sekitar RM1 bilion.
Katanya, pertimbangan BKK Aidilfitri itu dibuat selepas mengambil kira pertumbuhan ekonomi lebih baik dan sumbangan kerajaan lebih teratur dan berdisiplin.
“(Walaupun) ketirisan masih ada tetapi banyak dikawal oleh hasil kerajaan dan tatakelola yang lebih baik.
“Mengapa kita keras soal tatakelola dan elak ketirisan dan sebagainya kerana bila dapat hasil kita pulangkan balik kepada rakyat,” katanya.
Pada masa sama, katanya, kerajaan juga bersetuju menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mulai Isnin depan membabitkan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion.
Kerajaan sebelum ini berteka-teki mengenai penyaluran BKK Aidilfitri memandangkan penjawat awam sebelum ini telah menikmati pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) serta BKK sebanyak RM500 yang dibayar pada Februari lalu. – KOSMO! ONLINE