JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun ditahan kerana menyimpan 139 kotak berisi pelbagai jenis mercun bernilai RM347,500 di garaj kediamannya di Taman Perling, di sini Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kesemua mercun itu dipercayai untuk jualan sempena Aidilfitri.
“Siasatan mendapati suspek yang bekerja sebagai peniaga itu tidak mempunyai lesen sah ke atas kesemua bahan letupan itu. Lelaki itu ditahan dan mercun dirampas mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara, di sini hari ini.
Tambah beliau, suspek bagaimanapun telah dituduh di mahkamah dan mengaku tidak bersalah. Sebutan ditetapkan pada 13 Mei depan. -KOSMO! ONLINE