KOTA BHARU – Ramai pengasas produk kecantikan termasuk pempengaruh media sosial di Kelantan dikenal pasti terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ia dibuktikan menerusi kejayaan tangkapan yang dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan sebelum ini.
Menurutnya, justeru, IPK Kelantan tidak akan berkompromi dan sedia mengambil tindakan tegas ke atas individu terlibat sekiranya dikesan terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah.
“Kes pertama dikesan pada 2020 yang melibatkan tangkapan seorang usahawan kosmetik bergelar Datuk Seri bersama dadah bernilai RM5 juta. Perniagaan nampak berjaya, namun sebenarnya menjadi topeng kepada kegiatan haram.
“Kes kedua pula membabitkan tangkapan usahawan kosmetik bergelar Datin atas kesalahan mengedar dadah pada 2021. Mereka menggunakan modus operandi sama iaitu menggunakan perniagaan untuk menyembunyikan jenayah,” katanya menerusi satu video di akaun TikTok peribadinya
Mohd. Yusoff memberitahu, polis mengesan sindiket dadah yang didalangi ahli perniagaan di negeri ini pada tahun lalu.
Menurutnya, mereka mencuci wang haram melalui perniagaan dan mengggunakan individu lain untuk mengaburi mata pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE