PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengerahkan Pasukan Gerak Cepat (PGC) ke lokasi kejadian sekiranya pemantauan mendapati situasi banjir di Johor menjadi semakin teruk dan tidak terkawal.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, dua pasukan yang telah ditubuhkan itu ditempatkan di Ayer Hitam dan Segamat bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir besar dan sebagai pasukan tambahan kepada anggota sedia ada.
“Buat masa sekarang dua-dua pasukan ini sebenarnya belum lagi dipanggil untuk back up (sokongan). Sudah dua hari hujan secara berterusan dan kawasan dilanda banjir ini sebenarnya majoriti adalah kawasan yang dijangka oleh JBPM,” katanya.
Nor Hisham berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya berhubung perkembangan situasi banjir di Johor selepas Pelancaran Ops Siaga Raya 2025 Sempena Hari Raya Aidilfitri JBPM di sini hari ini.
Menurut beliau, setakat ini situasi banjir yang berlaku di Johor adalah terkawal dan keutamaan JBPM ketika berlakunya bencana adalah menyelamatkan mangsa dalam kategori terlantar, warga emas dan kanak-kanak.
“Bomba akan terus melakukan rondaan di lokasi. Kita tidak tinggalkan lokasi kerana hujan meskipun berpuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE