BESUT – Seorang lelaki yang berperanan sebagai orang tengah dalam jual beli padi ditahan reman selama empat hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan dakwaan menipu sekurang-kurangnya 11 pesawah daerah ini melibatkan kerugian keseluruhan RM124,101.41.
Perintah reman terhadap suspek berusia 38 tahun berkenaan dibenarkan Hakim Mahkamah Sesyen Besut, Ahmad Fadhli Mahmud di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, lelaki tersebut telah ditahan pada pukul 8 pagi, semalam berikutan aduan yang diterima daripada sekumpulan pesawah pada kelmarin.
“Setakat ini, kita telah menerima 11 laporan polis berhubung dakwaan penipuan dilakukan suspek.
“Mereka mendakwa tidak menerima bayaran hasil jualan padi yang telah dikutip suspek pada 2 Disember tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azamuddin berkata, kumpulan pesawah terlibat mendakwa suspek yang merupakan orang tengah gagal menunaikan janji untuk membayar wang hasil jualan padi tersebut pada tempoh seminggu dijanjikan.
Beliau berkata, sebaliknya lelaki itu sering mengelak dan menangguhkan pembayaran dengan pelbagai alasan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Bukti dan keterangan masih sedang dikumpul,” katanya. – KOSMO! ONLINE