PETALING JAYA – Dekorasi sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diletakkan di dalam stesen MRT Ampang Park, Kuala Lumpur mendapat kecaman orang ramai apabila mereka menyifatkannya sebagai ‘biasa-biasa’, buruk dan tidak cantik.
Kritikan daripada mereka diluahkan selepas seorang pengguna Thread Mr GJie memuat naik gambar dekorasi tersebut yang meminta pihak stesen membuka semula hiasan berkenaan.
“MRT Malaysia, please please please buka balik benda alah ni. Memburukkan pandangan, lebih baik buat dekorasi biasa kat kaunter. Kalau nak buat, biar gah, cantik, lawa, indah. Bukan buat semak mata memandang,” katanya pada hantaran berkenaan.
Bagaimanapun selepas beberapa hari, hiasan itu difahamkan telah ditanggalkan dan pengguna Thread tersebut turut memaklumkannya pada hari ini.
“21 Mac 2025 dah buang. Tahniah team, kalau benda ni buat dalam pejabat, aku tak ada lah kisah. Ni kat laluan umum. Terima kasih MRT Malaysia dan RapidKL.
“Alhamdulillah kosong tu lagi baik. Cukup lah pusat beli-belah saja buat dekorasi. Lebih baik tak ada daripada buruk pada pandangan. Gantung-gantung ketupat ke lampu ‘lip lap’ kat kaunter pun memadai. Orang tak pertikai,” katanya.
Menerusi ruangan komen, ramai yang bersetuju dengan pandangan lelaki tersebut, malah ada yang membandingkan hiasan berkenaan dengan dekorasi di kelas atau tadika.
“Kenapa macam ni. Ini macam level budak sekolah. Elok tak ada daripada ada, tapi macam ni saja buatnya,” komen theguyandhiscats.
“Seketul di situ, ni hiasan tadika ke apa ni. Buat kalau sekadar melepas kahak di tangga, lebih baik tak payah,” kata alamdanalang.
“Ni level hiasan sudut bacaan dalam kelas budak darjah lima,” kata azam_azre. – KOSMO! ONLINE