PETALING JAYA – Seramai 200 anak yatim diraikan menerusi Majlis Iftar MSU, salah satu daripada program MSU Ihya Ramadan 2025 anjuran Management and Science University (MSU).
Anak-anak yatim tersebut daripada 20 rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang diraikan dalam majlis dianjurkan di Dewan Canselor, kampus MSU, Shah Alam.
MSU dalam kenyataannya memaklumkan, majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan sumbangan wang zakat dan duit raya daripada Yayasan MSU bernilai RM120,000 kepada rumah kebajikan dan penghuni tersebut disempurnakan oleh Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid.
“Majlis penyerahan zakat dan duit raya ini adalah acara tradisi MSU dan mencerminkan komitmen universiti berkenaan dalam memenuhi tanggungjawab terhadap komuniti serta menyuburkan budaya bersyukur dan memberi (2G Culture) dalam kalangan warga kampus khasnya dan masyarakat amnya.
“Program MSU Ihya Ramadan 2025 turut menyaksikan pelaksanaan pelbagai aktiviti melibatkan warga kampus dan komuniti setempat,” menurut kenyataan tersebut.
Hadir sama, Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Dr. Junainah Abd Hamid, Naib Presiden Kanan Endowmen dan Komunikasi MSU, Datuk Rosli Yusof, pengurusan kanan universiti serta wakil rumah kebajikan dan anak-anak yatim.
Rumah kebajikan yang terlibat ialah Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Rumah Kebajikan dan Bimbingan At-Taqwa, Pusat Jagaan Amal Asyura, Madrasah Anak Yatim dan Tahfiz Quran Hashimiah, Pusat Jagaan Baitul Hidayah, Rumah Amal Siraman Kasih, Pertubuhan Amal & Kebajikan Anak-Anak Tersisih Selangor dan Pusat Jagaan Baiti Al-Jannah.
Selain itu, Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur, Rumah Perlindungan dan Anak Yatim Safiyyah, Persatuan Kebajikan Anak Yatim Al-Munirah, Rumah Penyayang Ulin Nuha, Rumah Kasih Nurul Hasanah, Pusat Jagaan Kasih Murni, Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Nur Kasih, Rumah Penyayang Darul Ilmi, Baitul Ulfah Centre, Pusat Jagaan Rumah Bakti Nur Ain serta Pertubuhan Kebajikan Nurhati.
Sementara itu, MSU memaklumkan, hubungan di antara MSU dan rumah-rumah kebajikan ini telah terjalin sejak tahun 2011 dan terus berkekalan sehingga kini yang mana lapan rumah kebajikan buat pertama kali terlibat dalam program tersebut. – KOSMO! ONLINE