LUSAIL – Juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin bersedia untuk kembali beraksi menjelang Grand Prix (GP) Qatar selepas terpaksa berehat akibat kecederaan yang dialaminya ketika sesi ujian pramusim.
Pelumba Aprilia Racing itu terpaksa menarik diri daripada tiga perlumbaan awal MotoGP musim ini di Thailand, Argentina dan Amerika Syarikat, namun, dia optimis akan kembali di Litar Antarabangsa Lusail untuk GP Qatar yang berlangsung 11 hingga 13 April ini.
“Saya jangka akan berada di Qatar, tetapi hanya jika ia tidak mendatangkan risiko. Saya akan menjalani pemeriksaan selepas saingan di Austin berakhir,” katanya.
Martin akur dengan tempoh pemulihan kecederaannya ketika ini dan tidak mahu tergesa-gesa untuk kembali ke litar bersama pasukan Aprilia.
“Ini adalah tempoh yang perlu saya lalui dan menjadi satu kesilapan jika saya terburu-buru untuk kembali beraksi. Jika tersilap langkah, ia hanya akan melambatkan proses pemulihan saya.
“Saya akan kembali lebih kuat bersama Aprilia. Saya suka cabaran dan tiada cabaran yang lebih besar daripada memenangi kejuaraan dengan pasukan yang belum pernah melakukannya sebelum ini,” katanya.
Ketika Martin terpaksa berehat, Marc Marquez yang kini bersama pasukan utama telah mengambil kesempatan untuk menguasai perlumbaan awal musim dan Martin langsung tidak terkejut dengan kehebatan pesaingnya itu.
“Marc menang? Itu bukan sesuatu yang mengejutkan sesiapa pun,” katanya. – AGENSI