KUALA LUMPUR – Syarikat Mahsuri Dagang Sdn.Bhd mengambil inisiatif untuk menaja 10 pelajar Institut Makanan Malaysia (FIM) menerusi biasiswa penuh siri pertama pada tahun 2023 melalui Program Chef Muda Mahsuri bagi mengikuti Program Sijil Kulinari Masakan Melayu Tradisional.
Pengarah Hal Ehwal Mahsuri Dagang, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, program ini diwujudkan bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah B40 untuk membina masa depan yang lebih cerah dalam bidang kulinari.
“Syarat-syarat yang kita tetapkan adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) untuk dibentuk menjadi chef profesional.
“Kami mahu melihat lebih ramai pelajar daripada keluarga B40 berjaya dalam industri kulinari. Sama ada mereka memilih untuk bekerja di restoran ternama atau membuka perniagaan sendiri,” katanya.
Tambahnya, tajaan tersebut juga telah ditetapkan dan dipilih oleh FIM melalui kerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dimana biasiswa penuh itu meliputi yuran pelajaran, sara hidup dan tempat tinggal selama empat bulan pengajian dan tiga bulan di industri.
Program Chef Muda Mahsuri juga telah melahirkan alumni yang berjaya menempatkan diri dalam dunia kulinari.
Menurut Iskandar Zaidi, 20, yang merupakan penerima biasiswa Mahsuri kumpulan pertama, program ini telah membuka peluang besar dalam kerjayanya.
“Saya berpeluang menunjukkan bakat saya dalam memasak. Melalui tajaan ini, saya bukan sahaja dapat mendalami masakan Melayu secara profesional, tetapi juga memperoleh pengalaman berharga yang membantu saya melangkah lebih jauh dalam industri kulinari,” katanya.
Seorang lagi alumni program ini, Nur Izzah Nadhirah Muhammed Anuai, 20, mula minat memasak sejak berumur empat tahun lagi dan mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang chef.
“Saya bersyukur diberi peluang yang besar untuk masuk dalam industri kulinari ini. Alhamdulillah, sejak saya mula belajar sehingga bekerja Mahsuri tanggung sepenuhnya,” katanya.
Setelah menamatkan pengajian, kedua-dua mereka berjaya diserap masuk dan telah setahun bekerja di Cafe Chef Wan @ Setia City Mall, Setia Alam.
Mahsuri Dagang menganjurkan majlis iftar bersama sebagai sebahagian daripada usaha menghargai alumni Program Chef Muda Mahsuri yang telah berjaya memasuki industri kulinari. – KOSMO! ONLINE