fbpx

Lelaki cedera dipukul kayu, parang sebab masalah keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar kejadian berkenaan.

KLANG – Isu keluarga menjadi punca pergaduhan sehingga menyebabkan seorang lelaki cedera di kepala selepas dipukul menggunakan parang dan batang kayu di Jalan Persiaran Raja Muda di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9. 30 malam pada 7 Februari lalu turut mengakibatkan mangsa berusia 37 tahun cedera di kedua-dua tangan serta dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan tersebut daripada seorang pemuda berusia 24 tahun kira-kira pukul 10 pagi pada 8 Februari lalu.

Katanya, berdasarkan laporan pengadu memaklumkan telah menerima panggilan telefon daripada bapa saudara iaitu mangsa telah dipukul di jalanan.

“Hasil siasatan mendapati mangsa telah dipukul oleh abang ipar dan dua rakannya menggunakan batang kayu dan parang.

“Punca pergaduhan adalah disebabkan isu keluarga,” katanya hari ini.

Beliau menambah, polis kemudiannya telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dan semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau.

Ujarnya, kertas siasatan telah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dan suspek telah dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan bersama Seksyen 34 kanun sama di Mahkamah Klang pada 17 Februari lalu.

“Kita dalam usaha mengesan dan menangkap dua lagi suspek yang masih bebas.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Daerah ini ditalian 03-33762222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI