JOHOR BAHRU – “Tak tahu nak sambut raya macam mana, semua persiapan musnah akibat banjir.”
Itu luahan seorang mangsa banjir, Siti Nurhidayah Mohd Noh, 38, selepas rumahnya dinaiki air dalam kejadian banjir paling teruk di kawasan kediamannya di Kampung Pasir Tebrau, Bandar Dato Onn di sini.
Menurut Siti Nurhidayah, dia telah membuat persiapan awal untuk menyambut Aidilfitri termasuk membeli kuih raya serta perabot baharu. Namun, semuanya musnah dalam sekelip mata.
“Hanya tinggal satu balang kerepek sahaja. Saya baru sahaja membeli kelengkapan baharu termasuk barangan elektrik dan perabot dengan jumlah kira-kira RM10,000,” katanya kepada pemberita di sini.
Banjir yang berlaku disifatkan sebagai paling buruk dengan paras air naik mendadak sehingga menghampiri paras bumbung akibat limpahan Sungai Tebrau.
“Saya tiada di rumah ketika kejadian kerana bekerja. Jiran yang maklumkan air mula naik.
“Saya terus bergegas balik dan masuk rumah sekitar pukul 10 pagi semalam tetapi arus terlalu kuat dan kemuncaknya pada pukul 11 pagi, memang tak sempat nak buat ala,” katanya yang merupakan penjawat awam di sebuah sekolah. – KOSMO! ONLINE