fbpx

Konsert OST bakal gamit memori K-drama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bukan konsert K-pop klise, pencinta drama Korea Selatan pasti teruja apabila lagu-lagu ‘soundtrack’ K-drama popular bakal didendangkan pada Konsert OST KOREA (KOSTCON2025 TOUR) di Spice Arena, Pulau Pinang pada 25 Oktober depan.

Menurut satu kenyataan media, konsert tersebut adalah untuk memperluaskan jangkauan global OST K-drama selain menggalakkan penglibatan yang lebih dengan peminat antarabangsa.

Antara penyanyi runut bunyi K-drama popular yang akan tampil pada konsert tersebut ialah
Baek Ji Young bagi lagu That Woman untuk drama Secret Garden, Heize (Can You See My Heart-Hotel Del Luna), Lyn (With You-Descendants of the Sun) dan Lee Mujin (Lilac-Love Your Enemy).

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Hi Five Entertainment Sdn. Bhd., Sean Pereira mengakui teruja dengan kerjasama bersama Korea Management Federation (KMF) dan Kelebrity Worldwide Inc bagi merealisasikan konsert tersebut.

“Kerjasama ini memecahkan tembok hiburan yang merentasi beberapa buah negara.

“Ini adalah perancangan yang dilakukan selama 16 bulan bagi menghasilkan sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini sekali gus membuka segmen pasaran baru,” katanya.

DARI kiri..David Shin, Jai-woong dan Sean Pereira pada majlis MoU kerjasama KOSTCON2025 TOUR di Seoul baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Kelebrity Worldwide, Min-chul Kim, berkata acara tersebut membuktikan K-pop dan K-drama kukuh dan dominan dalam industri seni secara global.

“Konsert OST lima negara ini menawarkan
peluang unik kepada penonton untuk menghidupkan semula emosi drama kegemaran mereka dalam konteks visual dan muzik yang mengasyikkan secara langsung serta imersif.

“Menerusi gabungan hebat visual dan muzik, kami berhasrat untuk menguatkan pengaruh gelombang Hallyu ke seluruh dunia,” ujarnya.

Difahamkan, majlis menandatangani perjanjian rasmi telah berlangsung pada 14 Mac lalu di Grand Walkerhill Hotel Seoul.

Konsert KOSTCON 2025 akan memulakan jelajah ke lima negara Asia iaitu di Jakarta, Indonesia pada 2 Ogos 2025, Manila, Filipina (6 Ogos), Dubai, UAE (5 September), Bangkok, Thailand (20 September) dan Pulau Pinang (25 Oktober). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI