fbpx

Kabin pesawat terbakar, penumpang cemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar menunjukkan beberapa penumpang dan kru kabin cuba memadamkan api pada ruang bagasi. - Jam Press

HONG KONG  – Penumpang sebuah penerbangan menuju Hong Kong cemas apabila kebakaran berlaku di dalam kabin pesawat, lapor akhbar The Sun UK semalam.

Rakaman kejadian menunjukkan asap dan api keluar dari ruang bagasi atau loker di atas tempat duduk penumpang selepas pesawat berlepas dari Hangzhou, China.

Beberapa penumpang yang terkejut segera bertindak. Mereka membuka loker dan menuang sebarang cecair yang ada untuk memadamkan api.

Ada yang menyelongkar beg untuk mengambil karton susu serta jus.

Kru kabin pula menyerbu troli minuman untuk mengambil air minuman dalam botol bagi membantu memadamkan api.

Terdahulu, penumpang dan kru mendengar bunyi dentuman sebelum kebakaran berlaku.

Seorang penumpang yang merakam detik itu berkata: “Saya sangat takut. Saya tidak menjangka ini akan berlaku.

“Kami berlepas kira-kira setengah jam dan tiba-tiba, dua lelaki menjerit ‘Ada api!’.

“Kami tidak dapat berbuat apa-apa di ruang udara dan saya hanya mampu berdoa,” katanya. 

Tiada sesiapa cedera, namun juruterbang terpaksa melakukan pendaratan cemas.

Pesawat itu mendarat di Fuzhou atau kira kira separuh jarak perjalanannya.

Penerbangan Hong Kong Airlines HX115 itu mendarat sejam 41 minit selepas berlepas.

Penumpang segera dipindahkan daripada pesawat jenis Airbus A320 itu.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca kebakaran.

Seorang jurucakap Hong Kong Airlines berkata: “Penerbangan HX115 berlepas dari Hangzhou ke Hong Kong terpaksa dilencongkan dan mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Fuzhou Changle akibat kebakaran yang berjaya dipadamkan.” – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI