PETALING JAYA – Baru sahaja tular dengan perniagaan kambing perap di Bazar Ramadan Jalan Kebun, pelakon Zara Zya kini berdepan kritikan selepas seorang pelanggan mendakwa juadah dijualnya tidak sepadan dengan berat yang diiklankan.
Seorang individu dikenali sebagai Noremah Ahmad meluahkan kekecewaan dalam Facebook selepas mendakwa daging kambing perap yang dibeli tidak mencecah 150 gram seperti tertera di gerai jualan.
Tidak cukup dengan itu, wanita terbabit turut memberikan penilaian hanya 1 daripada 10 terhadap juadah berkenaan.
“150 gram sekali dengan kubis, mungkin. Lepas buang kubis, tinggal 130 gram.
“Rasa dia 1/10. Masa beli memang tak boleh tengok isi sebab dah siap ‘packing’, kita tinggal bayar saja,” tulisnya.
Tidak berdiam diri, Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 39, tampil memberi respons di platform sama.
Pelakon Hati Tercarik Luka itu bersikap terbuka terhadap kritikan, namun meminta agar pelanggan tidak menghasut orang lain untuk tidak membeli jualannya.
“Terima kasih untuk semua yang komen, apa yang tak baik saya akan perbaiki.
“Kalau nak yang solid, puas hati beli yang ‘frozen’ punya ya, RM59 untuk 1.2kg.
“Tak ada sayur kubis yang dipotong macam orang malas dan sos pun asing. Kalau tak sedap, tak apa jangan beli lagi. Tapi janganlah hasut orang lain pula ya,” katanya.
Menerusi ruangan komen pula, reaksi netizen berbelah bahagi, ada bersetuju dengan kritikan namun tidak kurang juga yang mempertahankan pelakon itu.
“Kalau dah tahu tak boleh tengok isi dalam, kenapa beli? Biasanya orang beli sebab percaya pada peniaga,” komen seorang pengguna.
“Ramai jual kambing perap sekarang, jadi peniaga kena lebih jujur supaya pelanggan tak rasa tertipu,” tulis seorang netizen lain.
“Bukan soal harga, tapi kalau dah janji 150 gram, biarlah betul-betul cukup. Takkan kubis pun masuk kira?” luah seorang pengguna media sosial.
Terdahulu, perniagaan kambing perap Zara di Bazar Ramadan Jalan Kebun, Shah Alam mencuri perhatian ramai selepas tular dalam TikTok malah dilambung pujian kerana rajin mencari rezeki.
Meskipun menerima pelbagai reaksi, selebriti itu tetap positif dalam mengusahakan perniagaannya sepanjang Ramadan. – KOSMO! ONLINE.