SEPANG – Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan semua pihak supaya tidak cuba menjadi ‘jaguh’ dalam isu penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Perdana Menteri berkata, isu berkenaan telah dirundingkan selama bertahun-tahun dan bukan rundingan baharu.
Menurutnya, beliau berharap supaya tidak perlu ada respon yang kurang wajar termasuk daripada kalangan masyarakat mengenai isu itu dan berharap ia dapat tangani dengan baik.
“Masalahnya ada penunggang-penunggang agama termasuk peguam-peguam yang tidak pernah terlibat dalam kegiatan agama terus jadi jaguh dan buat kenyataan umpamanya nak merobohkan (kuil berkenaan).
“Saya tidak boleh bayangkan saya sebagai Perdana Menteri merobohkan mana-mana kuil ataupun kegiatan agama orang lain.
“Adalah (perlu) cari jalan baik supaya mereka mendapat tapak yang sah dan diiktiraf dan mudah-mudahan diselesaikan dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA di sini hari ini.
Katanya, masjid akan terus dibina, manakala kuil akan disediakan (tapak lain).
Anwar berkata, tanah itu bukan tanah kerajaan walaupun asalnya tanah Dewan Bandar Raya (Kuala Lumpur) tapi itu tidak bermakna tanah kerajaan dimana-mana pun boleh digunakan tanpa kelulusan. – KOSMO! ONLINE