PONTIAN – Seorang ibu muda yang baharu melahirkan anak sulung terpaksa melalui detik sukar berpantang dalam keadaan serba kekurangan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bunian, di sini.
Siti Nurfatin Najihah Yusri, 21, yang baharu 13 hari melahirkan anaknya, Muhammd Putra Eyash Qayyum terpaksa berpindahkan ke tempat lebih selamat apabila kediaman mereka di Kampung Jasa Sepakat di sini dinaiki air sejak semalam.
“Saya bersama suami, Muhammad Farid Ahmad, 27, sebelum ini telah tinggal di rumah ibu mentua selama semalaman kerana tiada khemah di PPS ini dan pagi ini baharu mendaftar masuk semula ke PPS ini.
“Tiada banyak barangan dapat dibawa ke pusat pemindahan hanya keperluan bayi seperti lampin, baju selain pakaian saya dan suami untuk semalam dua ini jika air tidak lagi surut,” katanya ketika ditemui di PPS SK Seri Bunian, di sini, pagi ini.
Siti Nurfatin berharap anak sulungnya tidak menghadapi masalah berada di PPS ini, dan pihaknya berterima kasih ditempatkan di khemah berasingan dari mangsa-mangsa banjir yang lain.-KOSMO! ONLINE