SANAA – Puak Houthi mengaku melancarkan serangan peluru berpandu hipersonik menyasarkan Lapangan Terbang Ben Gurion di Israel, lapor portal berita Middle East Monitor semalam.
Serangan dilakukan beberapa hari selepas tentera Israel melanggar gencatan senjata di Semenanjung Gaza.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree berkata, angkatan bersenjata Yemen telah melancarkan operasi ketenteraan menyasarkan lapangan terbang itu di wilayah Jaffa dengan bedilan peluru berpandu balistik hipersonik, Palestin-2.
Menurutnya, serangan berjaya mencapai objektifnya tanpa memberikan butiran lanjut.
Ia merupakan serangan kedua seumpamanya sejak Amerika Syarikat (AS) meningkatkan serangan udara terhadap Militia Houthi awal minggu ini.
Namun, tentera Israel mendakwa pihaknya berrjaya memintas peluru berpandu tersebut.
Ia menyatakan bahawa siren serangan udara dibunyikan di beberapa kawasan, termasuk Tel Aviv dan Baitulmaqdis. – AGENSI