JOHOR BAHRU – Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski masih menaruh harapan untuk menggunakan khidmat pemain tengah, Natxo Insa pada aksi pusingan ketiga Piala Asia 2027 menentang Nepal, Selasa ini.
Cklamovski memberitahu, buat masa ini, kuda tua Johor Darul Ta’zim (JDT) itu masih belum berlatih bersama kem skuad kebangsaan dan berlatih secara berasingan.
Katanya, pemain berusia 39 tahun itu dalam proses pemulihan secara individu dan pihaknya akan membuat keputusan kelak sama ada dia boleh menyertai latihan pasukan.
“Buat masa ini, dia sedang menjalani pemulihan secara bersendirian untuk memastikan fizikalnya dalam keadaan baik, ini kerana dia melalui jadual padat bersama JDT.
“Jika dia boleh berlatih bersama yang lain, itu adalah perkara yang baik kerana dia boleh menjadi sebahagian daripada skuad dan berada dalam pertimbangan untuk pemilihan,” katanya. – KOSMO! ONLINE