KEHADIRAN dua pemain warisan, Hector Hevel dan Gabriel Palmero mampu memperkuatkan lagi pasukan kebangsaan yang sedang giat membuat persiapan untuk aksi pusingan ketiga Piala Asia 2027 menentang Nepal, Selasa ini.
Pemain kebangsaan, Syamer Kutty Abba berkata, kehadiran mereka turut mewujudkan persaingan yang sihat dalam kem Harimau Malaya seterusnya membakar semangat pemain sedia ada untuk memberikan persembahan terbaik.
“Saya rasa pemain warisan yang baharu menyertai kem latihan ini akan membantu pasukan dan mewujudkan saingan yang lebih sihat di setiap posisi dan secara tidak langsung meningkatkan prestasi setiap pemain dalam pasukan,” katanya.
Sesi latihan Harimau Malaya yang memasuki hari ketiga mencuri tumpuan peminat bola sepak dengan kehadiran Hevel dan Palmero yang buat pertama kali berlatih bersama skuad kebangsaan.
Menerusi satu ciapan di Instagram Malaysia National Team, kelibat Hevel dan Palmero dilihat sudah turun ke padang sambil dipantau oleh Ketua Jurulatih Bawah 23 Tahun (B-23), Nafuzi Zain yang turut membantu Peter Cklamovski pada latihan pusat kali ini.
Dua pemain warisan baharu itu sedang menanti untuk diumumkan secara rasmi sebagai anggota baharu Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Syamer Kutty bersedia untuk memberikan segalanya untuk mencuri tempat dalam skuad kebangsaan termasuk bermain di posisi yang berbeza.
Pemain tengah Pulau Pinang FC itu berharap dapat menjadi pilihan Cklamovski setelah mampu beraksi di beberapa posisi sekali gus memberikan fleksibiliti buat ketua jurulatih kelahiran Australia itu mencongak percaturan terbaiknya.