BESUT – Seorang remaja lelaki tidak menyangka kemalangan yang dilihatnya sewaktu dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat sunat tarawih di Masjid At-Taqwa,Kampung Padang Landak di sini malam tadi melibatkan bapa dan abang keempatnya.
Muhammad Hafiy Mohd. Nazri, 15, berkata, dia dan ibunya, Siti Khumairo Samsuddin, 58, terkejut melihat ambulans mengambil mangsa kemalangan untuk dihantar ke hospital yang rupa-rupanya bapa, Mohd. Nazri Mohd. Nor, 59, dan abang keempatnya, Muhammad Hamas, 25.
Dia berkata, arwah bapanya dan abangnya yang merupakan guru bergerak awal ke masjid dengan menaiki motosikal jenis Honda EX5 dari rumah mereka.
“Saya dan ibu pula bergerak lewat sedikit dengan menaiki kereta. Sebelum kejadian, kami empat berbuka puasa dahulu di sebuah surau berhampiran rumah kami.
“Arwah bapa (Mohd. Nazri) dan abang (Muhammad Hamas) bergerak awal kerana abang dijadual menjadi imam solat sunat tarawih di Masjid At-Taqwa tersebut pada malam tadi,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Luas di sini hari ini.
Terdahulu Muhammad Hamas dan bapanya, Mohd. Nazri yang dalam perjalanan ke Masjid At-Taqwa maut selepas motosikal jenis Honda EX5 dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux.
Dua beranak tersebut meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Besut di sini pada pukul 10.30 malam tadi.
Jenazah Muhammad Hamas dan Mohd. Nazri selamat disemadikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Luas pada pukul 3 petang tadi. – KOSMO! ONLINE