PETALING JAYA – Jenama perabot terkemuka Fella Design menganjurkan sidang kemuncak latihan bertaraf dunia selama empat hari di ibu pejabatnya di Bukit Subang, Shah Alam baru-baru ini.
Menerusi acara berkenaan, Fella Design turut menjemput Naib Presiden Peruncitan dan Operasi Antarabangsa Ashley Furniture, Brad Clark untuk berkongsi mengenai peruncitan perabot, penglibatan pelanggan, pengetahuan teknikal dan amalan terbaik jualan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fella, Yu Kong Cing berkata, pada tahun depan Fella Design akan melangkah ke usia 40 tahun berada di pasaran.
“Salah satu komitmen Fella Design adalah untuk pembelajaran berterusan dan sidang kemuncak latihan ini mewakili usaha kami untuk terus mencipta semula diri kami,” katanya dalam kenyataan.
Seorang daripada peserta, Lucas Chen berkata, perspektif dan pandangan Brad sewaktu menyampaikan perkongsiannya sangat berharga bagi mereka khususnya di peringkat jualan.
“Adalah penting bagi firma tempatan dengan rakan kongsi antarabangsa untuk mengambil amalan terbaik global dan membawa budaya kecemerlangan ke dalam landskap runcit Malaysia,” katanya.
Sepanjang sidang kemuncak tersebut, peserta melalui tiga hari bagi latihan intensif, manakala satu hari seterusnya bagi latihan pengurusan diketuai oleh pakar industri.
Turut dilaksanakan ialah aktiviti pasukan ‘team-building’ yang mengukuhkan hubungan seluruh syarikat, malah juga diadakan majlis gradusi kepada semua peserta.
Penganjuran sidang kemuncak latihan bertaraf dunia itu turut merealisasikan pencapaian Brad dalam mencapai 10,000 profesional yang dilatih oleh beliau di seluruh dunia. – KOSMO! ONLINE