LONDON – Ketua pasukan Manchester United, Bruno Fernandes digesa untuk meninggalkan kelab itu untuk memburu lebih banyak trofi dan kejayaan ketika kelab berkenaan bergelut untuk mencapai kejayaan.
Bekas pemain Chelsea, Joe Cole berpendapat Fernandes mampu untuk menjulang lebih banyak trofi sekiranya membuat keputusan meninggalkan Old Trafford dan memilih kelab yang benar-benar terbaik.
Biarpun United melalui kempen yang sangat buruk musim ini, Fernandes masih mampu membuktikan kualitinya apabila meledak 16 gol dan mencipta 15 umpanan jaringan dalam semua kejohanan.
“Jika saya Bruno Fernandes, sudah pasti saya akan meninggalkan Manchester United. Dia berjaya menyinar, namun berdepan kritikan hebat kerana kegagalan pasukannya. Saya fikir dia sedang bersendirian menanggung beban kegagalan United.
“Dia adalah pemain yang cukup hebat dan pastinya diingini oleh banyak pasukan kerana memiliki semangat yang luar biasa. Namun, saya tidak fikir dia akan memenangi trofi liga dalam kariernya jika kekal di United.
“Fernandes kini sudah kesuntukan masa kerana usiannya yang semakin meningkat, manakala United tidak menunjukkan perkembangan yang baik untuk menguasai Liga Perdana Inggeris dalam tempoh terdekat, jadi saya fikir dia perlu pergi,” katanya.
Sejak menyertai United, Fernandes berjaya membantu pasukan itu menjulang gelaran Piala Liga Inggeris pada 2023 dan memenangi Piala FA pada musim lalu, namun United terus gagal menjadi pencabar EPL setakat ini. – AGENSI