KUALA LUMPUR – Dua kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun antara 38 individu yang ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam Ops Khas Motosikal di ibu negara, kelmarin.
Dalam operasi bermula pukul 12.30 tengah malam itu, kedua-dua kanak-kanak terbabit didapati menunggang motosikal milik ibu bapa mereka yang mana bahagian ekzos dan brek kenderaan tersebut telah diubah suai.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi membabitkan laluan dari Jalan Ampang ke Jalan Sultan Ismail itu dijalankan susulan aduan orang awam berkaitan aktiviti perlumbaan haram.
“Kita telah memanggil ibu bapa kedua-dua kanak-kanak berkenaan dan mengambil tindakan atas kesalahan menunggang di bawah umur.
“JPJ juga akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi mengambil tindakan selanjutnya ke atas ibu bapa kanak-kanak tersebut kerana membenarkan anak mereka terlibat dalam aktiviti lumba haram,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Ihya Ramadan yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah di Dewan Merpati, JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil pemeriksaan, sebanyak 196 notis kompaun dikeluarkan serta 19 motosikal dikenakan tindakan sita di atas pelbagai kesalahan.
“Kesemua penunggang motosikal yang ditahan berusia dalam lingkungan 12 hingga 18 tahun dan kebanyakannya merupakan pelajar sekolah.
“Kesalahan tertinggi adalah tidak memiliki lesen memandu selain tiada cukai jalan, tiada insurans dan pengubahsuaian motosikal pada nombor pendaftaran, brek dan ekzos,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE