BESUT – Perjalanan seorang guru untuk menjadi imam solat sunat tarawih dengan membonceng motosikal ditunggang bapanya berakhir tragedi apabila dua beranak tersebut maut dalam kemalangan di Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Kampung Padang Landak di sini malam tadi.
Dalam kemalangan pada kira-kira pukul 8 malam itu, kedua-dua mangsa,
Muhammad Hamas Mohd. Nazri, 25, dan bapanya, Mohd. Nazri Mohd. Nor, 59, mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan berapa anggota badan.
Mereka menghembuskan nafas terakhir sewaktu menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Besut di sini pada kira-kira pukul 10.30 malam.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, sewaktu kejadian dua beranak terbabit dikatakan dalam perjalanan ke Masjid Al-Taqwa Kampung Padang Landak di sini untuk menunaikan solat sunat tarawih.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda EX5 dinaiki kedua-dua mangsa dikatakan membuat pusingan U sebelum memasuki laluan tengah untuk menuju ke masjid.
“Sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun gagal mengelak lalu merempuh motosikal itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azamuddin berkata, Muhammad Hamas dan bapanya, Mohd. Nazri yang cedera parah telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Besut untuk menerima rawatan.
Beliau berkata, dua beranak itu meninggal dunia setelah lebih dua jam menerima rawatan di hospital berkenaan. – KOSMO! ONLINE