fbpx

DRB-HICOM sumbang pek makanan iftar kepada polis trafik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cairil Irwan menyerahkan sumbangan kepada anggota polis trafik di Shah Alam baru-baru ini.

SHAH ALAM – DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) julung kali melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menghargai pengorbanan anggota polis trafik yang bertugas sempena Ramadan ini.

Inisiatif itu diterjemahkan menerusi program Tautan Kasih: ‘Appreciate the Heroes: Iftar on the Go’ yang melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Selangor dan ibu negara.

Ia meliputi IPD Shah Alam, IPD Subang Jaya, IPD Petaling Jaya dan Balai Polis Trafik Jalan Bandar, Kuala Lumpur.

Sumbangan itu melibatkan ­pengagihan sebanyak 2,000 pek makanan berbuka puasa pada setiap minggu kepada anggota trafik terlibat.

Ketua Pegawai Komunikasi DRB-HICOM, Cairil Irwan Amir berkata, penganjuran program kali pertama itu sebagai tanda penghargaan kepada anggota yang komited bertugas tanpa mengenal penat lelah sepanjang Ramadan.

Menurutnya, pek makanan iftar itu diagihkan kepada pihak yang memastikan kelancaran lalu lintas dan keselamatan jalan raya terutama menjelang waktu iftar.

“Kami amat menghargai pengorbanan anggota polis trafik yang berpanas terik demi melunaskan tanggungjawab kepada pengguna jalan raya.

“Sumbangan pek makanan itu diharap membantu mereka untuk berbuka puasa tepat pada waktunya biarpun sibuk menjalankan tugas,” katanya.

Keprihatinan DRB-HICOM menyantuni semua pihak termasuk anggota keselamatan yang bertugas.

Beliau berkata demikian selepas mengedarkan 500 pek makanan iftar itu kepada wakil empat pihak penerima di perkarangan IPD Shah Alam di sini, Jumaat minggu lalu.

Hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Shah Alam, Deputi Superintendan Mohd. Agus Mohd. Ali dan Ketua BSPT Petaling Jaya, Deputi Superintendan Mohd. Syahrun Nizam Mashuri.

Sumbangan itu diagihkan pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan dengan kerjasama rapat pegawai polis bagi melancarkan program tersebut.

Jelas Cairil, inisiatif itu turut memupuk semangat komuniti dan nilai murni kepada wira negara yang berjasa kepada masyarakat.

“DRB-HICOM juga sentiasa meni­tikberatkan hubungan baik dan saling bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang.

“Program ini selaras dengan ekosistem perniagaan kami yang meliputi pelbagai sektor termasuk keselamatan, automotif, logistik, mobiliti dan polis bantuan,” katanya.

Tambahnya, anak syarikat kumpulan seperti Bank Muamalat turut melaksanakan program seumpa­manya dengan mengagihkan pek makanan kepada anggota trafik di IPD lain.

“Kami berharap kerjasama ini berterusan dalam mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua pihak pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Agus berkata, pihaknya terharu dipilih sebagai penerima sumbangan dan Shah Alam merupakan antara laluan yang sesak terutamanya ketika waktu puncak.

“Sebanyak 14 lokasi aktif penugasan anggota polis trafik dikenal pasti pada Ramadan ini terutama persimpangan Jalan Subang yang dikenali sebagai ‘lampu isyarat 199.’

Cairil (tujuh dari kiri) pada Program Tautan Kasih: ‘Appreciate the Heroes: Iftar on the Go’ di Shah Alam baru-baru ini.

“Kita menempatkan anggota di semua lokasi itu bagi melancarkan aliran trafik dan sumbangan makanan itu membantu mereka berbuka puasa ketika bertugas di lapangan,” katanya.

DRB-HICOM yang mempunyai lebih 42,000 pekerja itu antara syarikat terkemuka negara yang berteraskan perniagaan dalam sektor automotif, aeroangkasa dan pertahanan, perbankan, pos, per­khidmatan serta hartanah.

Sektor Automotif menyaksikan DRB-HICOM terlibat dalam pembuatan, pemasangan dan pengedaran kenderaan penumpang dan komersial termasuk kereta serta motosikal nasional, Proton dan Modenas.

Dalam sektor perkhidmatan, kumpulan terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan, termasuklah perkhidmatan konsesi dan pendidikan, manakala sektor hartanahnya terlibat dalam pembangunan hartanah kediaman serta perindustrian.

Bagi sektor Aeroangkasa dan Pertahanan, kumpulan itu terlibat menerusi anak syarikatnya, Composites Technology Research Malaysia (CTRM) dan DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd. (DEFTECH).

Segmen Pos bagi DRB-HICOM diwakili anak syarikatnya, Pos Malaysia, manakala sektor Perbankannya pula menerusi Bank Muamalat.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI